Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan Pahang pada Mac 1922. Y.A.B Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau adalah keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau telah menggantikan Y.T.M Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri pertama Malaysia. Beliau telah memimpin negara Malaysia selama 6 tahun bermula dari tahun 1970 hingga 1976.

Dilahirkan dalam keluarga yang dihormati pada zaman pemerintahan British tidak menjadikan beliau seorang yang sombong dan mengambil kesempatan terhadap kedudukan bapanya. Latar belakang beliau yang sederhana dan berdisiplin telah menjadikan beliau seorang pemimpin politik yang memahami tentang susah senang rakyat yang diperintah terutama rakyat yang berada di kawasan pendalaman. Cara pemerintahan beliau yang dekat dengan rakyat telah menjadikan beliau amat dihormati, seterusnya beliau telah berjaya menjadi pemimpin yang disanjung di Malaysia dan di rantau asia semasa era pembangunan Negara dari tahun 1954-1976 samada memegang jawatan Menteri mahupun Perdana Menteri. Tun Abdul Razak Dato’hussein meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976 pada usia 54 tahun akibat penyakit Leukemia. Ketokohan beliau jelas dapat dilihat dalam pelbagai dasar yang diperkenalkan untuk membangunkan ekonomi masyarakat Malaysia terutama penduduk luar Bandar. Sumbangan beliau juga dapat dilihat dalam sistem politik Negara ini.